BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, 27 December 2012

Aurat Dan Pandangan



Tentang gambar ini ada dua perkara yang ana nak sentuh :

Pertama :


"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
(Al-Ahzab : ayat 33)

Jadi ayat ini seolah-olah ingin mengatakan bahawa rumah adalah tempat yang paling baik dan selamat bagi seseorang wanita. Jika mereka terpaksa keluar kerana ada kecemasan atau keperluan, mereka hendaklah menjaga kehormatan dirinya dan menjauhi tabarruj. Secara khusus ayat al-Quran di atas ditujukan kepada para Ummahat al- Mukminin (isteri-isteriNabi Muhammad s.a.w.). Namun begitu, secara umumnya ia juga ditujukan kepada seluruh wanita Islam. Ini kerana isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. adalah ibu-ibu bagi semua orang Islam. Mereka adalah contoh tauladan kepada orang lain. Iaitu kepada semua wanita Islam padasemua zaman dan tempat.

Al-Qurtubi telah berpendapat, erti ayat “tinggallah di rumah-rumah kamu” adalah perintah supaya menetap di rumah. Walaupun ia ditujukan kepada isteri-isteri Nabi tetapi wanita-wanita lain pun termasuk di dalamnya, sekalipun tiada dalil serupa yang ditujukan kepada semua wanita. Ia dapat difahami betapa banyaknya peraturan-peraturan dalam Islam yang memerintahkan agar kaum wanita tetap tinggal di dalam rumah. Keluar dari rumah harus hukumnya hanya dalam keadaan darurat dan mengikut keperluan.

Kedua :

Berkata Syaikh Muhammad Amin, "Dengan demikian engkau mengetahui bahawa firman Allah (Dia mengetahui pandangan mata yang khianat) [QS 40 ayat 19] merupakan ancaman terhadap orang yang khianat dengan pandangannya iaitu dengan memandang kepada perkara-perkara yang tidak halal baginya"
[Adhwaul Bayan, tafsir surat 24/31]

Berkata Ibnu Abbas menafsirkan ayat ini (Dia mengetahui pandangan mata yang berkhianat) [QS 40 ayat 19], "Seorang lelaki berada bersama sekumpulan orang. Kemudian lewatlah seorang wanita maka lelaki tersebut menampakkan kepada orang-orang yang sedang bersamanya bahawa dia menundukkan pandangannya, namun jika dia melihat mereka lalai darinya maka dia pun memandang kepada wanita yang lewat tersebut, dan jika dia takut ketahuan maka dia pun kembali menundukkan pandangannya. Dan Allah telah mengetahui isi hatinya bahawa dia ingin melihat aurat wanita tersebut."
[Dzammul Hawa hal 65]

Jangankan memandang paras ayu sang wanita, bahkan memandangnya dari belakangnya sahaja, atau bahkan hanya memandang bentuknya saja boleh menimbulkan fitnah. Akan datang syaitan dan mula menghiasi sekaligus mencemarkan benak lelaki yang memandangnya dengan apa yang ada di balik bentuk tersebut. Jelaslah pandangannya itu mendatangkan syahwat.

Berkata Al-'Ala' bin Ziyad, 
"Janganlah engkau mengikutkan pandanganmu pada pakaian seorang wanita. Sesungguhnya pandangan menimbulkan syahwat dalam hati"

Demikianlah sangat takutnya para salaf akan bahayanya tidak menjaga pandangan, dan perkataan mereka ini bukanlah suatu hal yang berlebihan, walaupun bahaya itu pun boleh kita rasakan. Namun yang sangat menyedihkan masih ada di antara kita yang merasa dirinya aman dari fitnah walaupun tidak menjaga pandangannya. Hal ini tidaklah lain kecuali kerana dia telah terbiasa melakukan maksiat, terbiasa meliar pandangannya, sehingga kemaksiatan tersebut terasa ringan di matanya. Dan ini merupakan ciri-ciri orang munafik.

Berkata Abdullah bin Mas'ud ra: "Seorang mu'min memandang dosa-dosanya seperti gunung yang ia berada di bawah gunung tersebut, dia takut (bila-bila masa) gunung tersebut jatuh menimpanya. Adapun seorang munafik memandang dosa-dosanya seperti seekor lalat yang terbang melewati hidungnya lalu dia pun mngusir lalat tersebut. "
[Shahihul Bukhari no 6308]

Kesimpulannya :

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman : Katakanlah kepada para lelaki yang beriman, "Hendaklah mereka menahan sebahagian pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka lakukan", dan katakanlah kepada para wanita yang beriman, "Hendaklah mereka menahan sebahagian pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka .....Hingga firman Allah di akhir ayat ... Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kalian berjaya.
(An-Nuur : ayat 30-31)

Tidak ada yang lebih dari para wanita dalam hal melalaikan akal seorang lelaki yang tegas, lalu bagaimana dengan lelaki yang lemah, tidak mempunyai ketegasan, tidak mempunyai semangat, tidak mempunyai agama dan kejantanan? Tentunya lebih parah lagi.

Oleh kerana itu setelah Allah memerintah kaum mukminin untuk menundukkan pandangan Allah berfirman : "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman semoga kalian berjaya."
Maka wajib atas kita untuk saling menasihati untuk bertaubat dan hendaknya saling memperhatikan antara satu dengan yang lain apakah seseorang diantara kita telah bertaubat atau masih sentiasa tenggelam dalam dosa-dosanya, kerana Allah mengarahkan perintah untuk bertaubat kepada kita semua. "
[Lihat Syarah Riyadhus Shalihin, awal bab taubat]

Perintah Allah secara khusus untuk bertaubat dari tidak menjaga pandangan mata menunjukkan bahawa hal ini bukanlah perkara yang remeh. Pandangan mata merupakan awal dari pelbagai macam malapetaka. Barangsiapa yang semakin banyak memandang kecantikan seorang wanita yang bukan mahramnya maka semakin dalam kecintaannya kepadanya hingga akhirnya akan menghantarkannya kepada jurang kebinasaannya, Wal 'iyadzu billah…
[Adhwaul Bayan, tafsir surat 24/31]

0 comments: